Tak Sangka! Inilah Pasukan Pilihan Siti Nurhaliza Untuk Menjulang Piala Malaysia 2015




 Artis dan personaliti terkenal tanah air turut tidak ketinggalan menyatakan sokongan kepada pasukan pilihan masing-masing yang bakal berentap dalam saingan final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, esok. Selangor dan Kedah akan membuat perhitungan pada perlawanan berkenaan. Penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza misalnya memilih Kedah untuk menjuarai piala berprestij itu kali ini. "Siti sokong negeri kelahiran suamilah (Datuk Seri Mohd Khalid Jiwa dari Kedah). Siti tengok prestasi pasukan Kedah ketika ini semakin bagus.

 "Jadi peluang untuk mereka menang memang ada tapi pasukan kena susun strategi terbaik," katanya mengulas perlawanan final berkenaan. Bagi penyampai radio dan pengacara tv terkenal, Fara Fauzana, beliau memilih Selangor untuk merangkul kejuaraan Piala Malaysia kali ini. "Saya penyokong pasukan merah kuning sejak berusia enam tahun lagi. "Selalu juga saya turun ke Stadium Merdeka sehinggalah mereka bermain di Stadium Shah Alam, bagi memberikan sokongan. 

"Merah kuning adalah lambang kebanggaan kami. Dan tentunya, saya meramalkan pasukan Selangor akan menang 3-1," katanya. Bagi pelakon dan pengacara tv, Rozita Che Wan, beliau mengharapkan Kedah akan mengulangi kejayaan menjuarai Piala Malaysia seperti dilakukan pada 2008. "Saya ada tengok perlawanan minggu lalu. Pasukan Kedah mempunyai banyak peluang menjaringkan gol, tetapi tersasar. Jadi, untuk perlawanan akhir ini, saya berharap mereka tidak mensia-siakan peluang. "Pemain pasukan Kedah pun bagus-bagus, terutama penjaga golnya. Saya yakin Kedah akan muncul juara dengan kemenangan 2-0," katanya. Penyanyi, Kaka Azraff pula berkata dia berbelah bagi dalam memberi sokongan kerana ayahnya, berasal dari Selangor manakala ibunya dari Kedah. 

"Pertemuan antara Selangor dengan Kedah sememangnya sentiasa menjadi bualan hangat ataupun viral di media sosial. Kali ini pun tak terkecuali. "Cuma, apabila kedua-dua pasukan ini yang berentap. Saya jadi berbelah bahagi sebab bapa saya orang Selangor dan ibu pula orang Kedah. Saya juga mengikuti perkembangan kedua-dua pasukan sejak dulu. "Jadi, nampaknya kedua-duanya saya kena sokong. Kalau Selangor menang, saya akan meraikannya bersama bapa dan kalau sebaliknya, saya rai bersama ibu," katanya.

No comments:

Post a Comment